Monday, November 20, 2006

Anehnya Manusia

sambil2 surfing, terjumpa cerpen pasal manusia aneh, so saya attachkan di sini, moga dapat diambil iktibar bersama. cerpen ni di tulis oleh wartawan berita harian, Nasron Sira Rahim. memang anehkan manusia.. seringkali kita terlupa, kita punya panduan untuk melakukan sesuatu...saat menghadapi kehidupan, kita hilang arah dan punca dalam membuat pertimbangan, lalu mengikut kata hati dan nafsu yang ditunggangi syaitan durjana..nauzubiLLah..

Cerpen: Manusia Manusia Aneh

AKU melihat tubuh pemuda itu menggigil; matanya memerhatikan topi keledar yang dipegang. Topi itu disaluti titisan berwarna merah, disaluti percikan darah. Seketika aku perhatikan dia memandang pula tubuh lelaki itu.

Lelaki bertali leher itu terbaring tidak bergerak selepas pemuda terbabit menghayunkan topi keledar ke kepalanya. Darah mengalir keluar sehingga membasahi tar jalan.

Aku masih mendiamkan diri di sebalik rimbunan dedaun pokok tidak jauh daripada kedua-dua lelaki itu berada, sebaliknya pemuda itu mula cemas. Dia menoleh ke kiri dan kanan sebelum bergegas mengangkat motosikalnya. Sebaik mengenakan topi keledar bersalut titisan warna merah, dia memecut motosikalnya meninggalkan aku dan lelaki bertali leher yang sudah kaku.

Aku adalah saksi tunggal kes pembunuhan itu. Jika polis mencari aku, pasti aku dapat menceritakan segala-galanya. Dari lokasi aku berdiri, aku dapat melihat dengan jelas bagaimana jenayah itu bermula sehinggalah lelaki bertali leher itu terbaring dengan darah mengalir dari kepalanya.

Malangnya kehadiran aku tidak dipedulikan malah ketika aku cuba menghampiri seorang anggota polis untuk memberikan keterangan, aku dihalau dengan tangannya digerak-gerakkan seolah-olah ingin memukul aku. Aneh.

Aku masih tidak meninggalkan tempat kejadian ketika mayat lelaki bertali leher itu ditutup plastik hitam manakala kehadiran penonton semakin ramai. Di sebalik tali pita yang digantung polis, mereka ingin menyaksikan kesudahan kisah tragis itu sehingga jalan raya menjadi sesak.

Beberapa penonton @ saksi yang datang selepas aku, diambil keterangan oleh polis tapi aku sebagai saksi terpenting masih tidak dipedulikan. Remaja yang diambil keterangan itu pasti tidak dapat menghuraikan secara terperinci mengenai kejadian berkenaan kerana mereka tiba selepas pembunuhnya melarikan diri; selepas jasad lelaki bertali leher rebah di sisi keretanya dan tidak bangun lagi.

Tetapi aku dapat menceritakan fakta kes dengan terperinci, bagaimana ia berlaku; bagaimana rupa suspek; apa senjata digunakan dan punca tragedi itu. Akan tetapi aku tidak dipedulikan polis berkenaan malah aku juga tidak dipedulikan pemuda @ pembunuh itu.

Aku sekali lagi menghampiri seorang polis selepas dia selesai mencatatkan keterangan saksi. Aku berdiri di belakangnya sambil jariku diletakkan di bonet keretanya.

“Tuan, saya nampak bagaimana pembunuhan ini berlaku; saya masih ingat rupa penjenayah itu. Dia melarikan diri dengan motosikal,” kataku. Polis itu masih leka memerhatikan catatannya dan tidak mengendahkan aku. Mungkin kehadiran dan suaraku tidak menyedarkannya kerana keadaan sekitar begitu bising.

Bunyi siren ambulans kedengaran, bunyi hon kenderaan yang tersekat di laluan sempit itu juga bersahutan. Aku bersuara lagi dengan lebih kuat dan tegas supaya polis itu menyedari aku adalah saksi tunggal kes berkenaan.

“Tuan, pembunuhnya adalah lelaki berusia 20-an, berpakaian serba hitam, menaiki motosikal EX5 bernombor plat D** 7**9,”" kataku dengan ekspresi muka serius.

Sambil menutup buku catatannya, polis itu menoleh kepadaku dengan riak marah. Eh kenapa pula, apa salahku? Seperti rakannya, polis itu juga menghalauku dengan tangannya diangkat-angkat seolah-olah ingin memukulku. Pelik sungguh pasukan polis ini.

Aku tidak dapat menghamburkan rasa tidak puas hati yang bersarang kerana mereka itu polis dan masyarakat takutkan polis. Kekesalan membawa aku kembali ke pohon tempat aku berteduh tadi untuk terus menyaksikan keadaan di situ.

Baiklah, polis enggan mengambil keteranganku tetapi akulah saksi tunggal kes pembunuhan itu. Aku tahu siapa bersalah dan apa yang terjadi. Aku tahu bagaimana ia terjadi dan apa puncanya.

Bagiku yang menyaksikan permulaan cerita jenayah itu sehingga ke akhirnya, pemuda itu bersalah. Lelaki bertali leher itu juga bersalah. Masyarakat mungkin mengasihani lelaki bertali leher itu, dia mati dibunuh – kasihan isteri dan anak kecilnya.

Masyarakat menghukum pemuda itu sebagai pesalah dan lelaki bertali leher itu sebagai mangsa kerana mereka tidak menghayati kejadian itu seperti yang aku lakukan.

Mereka melihat kejadian itu menerusi laporan media atau menerusi keterangan beberapa saksi yang datang ke lokasi kejadian selepas aku, selepas pembunuhnya melarikan diri; selepas jasad lelaki bertali leher itu rebah dan tidak bangun lagi.

Ambulans tiba dan dua lelaki berpakaian putih mengangkat mayat lelaki bertali leher itu ke atas pangkin. Pangkin diangkat dan jasad lelaki bertali leher itu hilang ditelan perut ambulans.

Bagiku yang menyaksikan bagaimana lelaki bertali leher itu menemui ajalnya, aku tahu bahawa dia bukan dibunuh pemuda itu. Dia sebenarnya dibunuh dirinya sendiri dan jelaslah dia bersalah!

Lantaran gagal membentuk dirinya mengikut panduan kemanusiaan, dia menjadi lelaki angkuh yang menidakkan hak orang lain, mementingkan diri, berpendirian bahawa hanya dia perlu dihormati dan orang lain perlu menghormatinya. Dia saja betul dan orang lain tidak perlu memperbetulkannya.

Masyarakat menyalahkan pemuda itu dan mereka benar, pemuda itu juga salah tetapi bukan kerana dia membunuh lelaki bertali leher itu, sebaliknya dia membenarkan kehidupannya dibunuh.

Aneh sungguh manusia ini, sudah pelbagai nasihat diberikan malah oleh Rasul dan Tuhan. Mereka mengaku tahu malah menyebarkan nasihat itu kepada orang lain tetapi tidak kepada diri mereka.

Aku akan gelarkan golongan ini sebagai ‘mereka yang tidak mengambil peringatan’ seperti yang Tuhan gambarkan menerusi al-Quran kerana mereka diberi panduan tetapi mereka lebih suka menulikan pendengaran masing-masing.

Orang ramai semakin berkurangan, seorang polis trafik mengawal lalu lintas yang tersekat dan aku masih malas bergerak dari pohon itu. Matahari mula terik dan perutku mula berkeroncong.

Manusia sudah diajar bersabar, merendah diri dan pelbagai lagi pekerti tetapi apabila dikuasai amarah, mudah sekali mereka menyumpah seranah malah mereka sanggup mati demi memastikan diri dihormati dan orang lain menghormati.

Aku bagaimanapun pernah menemui seorang manusia yang tidak seperti itu. Ketika manusia lain mengeluarkan kata kesat dan biadab kepadanya di khalayak ramai, dia hanya beristighfar dan melafazkan (terjemahan): “Aku memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam.”

Aku sendiri pasti akan menghumban manusia yang sanggup berkata, “$#!*” kepadaku tetapi dia hanya berdiam diri. Aneh manusia itu.

Sebelum sempat aku mengajar manusia lain itu mengenal adab, manusia itu membalas: “Sesungguhnya Allah berfirman dalam al-Baqarah: Apabila dikatakan kepadanya (orang munafik), ‘Takutlah Allah! Ia lalu merasa angkuh sehingga berbuat dosa. Memadailah Neraka Jahanam (sebagai balasannya)!”

Manusia lain itu tergamam, khalayak senyap dan aku terdiam. Keadaan sekitar seumpama dilintasi harimau ketika manusia itu meninggalkannya.

Aneh sungguh manusia, mereka marah hingga sanggup mati apabila nafsu dan ego diperlekehkan tetapi apabila agama mereka dipermain-mainkan dan apabila Yahudi mengancam merobohkan Baitulmuqaddis seperti baru-baru ini, mereka hanya berkata: “...”

Lelaki bertali leher itu sudah dibunuh dan kehidupan pemuda itu juga sudah dibunuh. Yang membunuh adalah diri mereka sendiri; nafsu mereka sendiri dan aku tahu kerana aku menyaksikannya dan akulah saksi tunggal pembunuhan itu.

Kelaparan membawa aku keluar mencari makanan sebaik bangun tidur, sama seperti hari-hari sebelumnya. Dalam usahaku itulah, ketika aku singgah di atas bangunan itu, aku menjadi saksi tunggal pembunuhan berkenaan.

Di persimpangan jalan sesak itu, sebuah kereta Wira membelok ke kanan dengan cuai tanpa memberi isyarat. Nyaris motosikal di sebelah kereta itu terbabas.

Ketika kesibukan pagi dicemari kebisingan kenderaan bergerak, ia disahut hon panjang daripada motosikal itu. Tangan penunggangnya diangkat tinggi menunjukkan isyarat tidak berpuas hati.

Jalan raya di kawasan itu masih belum tenang apabila hon lain pula kedengaran daripada arah kereta Wira. Sejurus kemudian berlakulah aksi kejar-mengejar antara dua kenderaan itu.

Motosikal kejar Proton Wira - Proton Wira memotong - motosikal akhirnya memintas dan kedua-dua kenderaan itu berhenti di tepi jalan itu ketika pengguna lain meneruskan rutin.

Aku yang semakin berminat dengan drama kejar-mengejar itu segera turun dari bangunan empat tingkat itu dan menghampiri dua kenderaan berkenaan. Lelaki bertali leher keluar dari kereta dan penunggang motosikal membuka topi keledarnya.

Tanpa menghiraukan aku yang berada di pohon bersebelahan mereka, lelaki bertali leher dan pemuda yang menunggang motosikal itu mula bertikam lidah dan saling mencaci-maki.

“Kurang ajar!!!” jeritan keras pemuda singgah di telingaku apabila mataku melihat lelaki bertali leher tersungkur ke tar jalan. Episod akhir pertengkaran mereka adalah pemuda itu menghayun topi keledar ke kepala lelaki bertali leher sebagai balasan sikap angkuhnya, cuai dan mementingkan diri.

Aku terkejut lantas segera menghampiri lelaki bertali leher ketika pemuda itu memecut motosikalnya meninggalkan kami. Kudratku tidak mampu menolong lelaki bertali leher itu. Aku hanya mampu menjerit meminta pertolongan.

Tiada siapa yang mempedulikanku untuk suatu tempoh yang kurasakan lama sehinggalah beberapa ketika selepas itu, orang ramai mengelilingi kami. Mereka hanya menjadi pemerhati untuk beberapa ketika lagi, sebelum kedengaran siren kenderaan polis. Polis tiba dan aku dihalau menjauhi jasad lelaki bertali leher itu.

Hari ini, aku menemui manusia-manusia aneh - mereka suka apabila orang lain kesusahan akibat kecuaian mereka. Mereka hanya melihat ketika orang lain kesusahan, mereka sanggup membunuh semata-mata mempertahankan ego dan mereka buta daripada panduan Allah.

Aku akui, aku bukanlah baik malah kaum keluargaku juga bertengkar tetapi kami tidak mencerca sesama sendiri; kaum keluargaku juga membunuh tapi mereka tidak membunuh demi mempertahankan ego. Walaupun tubuh kami hitam, hati kami tidak berwarna dalam menuruti peraturan Allah. Hitam kata Allah, hitamlah kami ikut dan putih kata Tuhan, putihlah kami turut.

Keturunanku juga berbunuhan malah kamilah yang mula-mula mencipta kubur. Ketika aku kecil, ibuku menceritakan bahawa putera Nabi Adam, Qabil membunuh saudaranya kerana enggan dijodohkan dengan kembar Habil iaitu Lubuda, sebaliknya dia ingin mengahwini kembarnya, Iqlima kerana nafsunya menyatakan Iqlima lebih cantik. Akibat menurutkan nafsu dan bisikan syaitan maka maut bertamu menjemput Habil ke alam barzakh selepas kepalanya dipukul saudara lelakinya.

Allah kemudiannya mengutuskan dua moyang kami untuk memberi ilham – mereka bercakaran sehingga seorang saja yang dapat melihat alam ini. Moyang kami yang hidup mengorek tanah dengan jari dan paruhnya sebelum menguburi jasad moyangku yang terbunuh.

Sebagai hamba Tuhan, aku masih kesal dengan kejadian tadi. Sudah 1427 tahun manusia disertakan panduan kehidupan tetapi mereka tidak mempedulikannya. Aku merasakan mereka akan terus berbunuhan semata-mata untuk memenangkan nafsu masing-masing.

Perutku kembali berbunyi dan aku sudah lapar. Ketika kelihatan rakanku terbang melintasiku, aku mengepakkan sayap dan menuruti jejaknya, meninggalkan pohon berkenaan dan manusia dengan sikap mereka sendiri.

No comments: